Jika diikuti rentetan apartment ini, jelas sekali pemaju WORLDWIDE HOLDING BERHAD tidak profesional dalam menantatangani masalah di sini. Rentetan yang dimaksudkan adalah seperti berikut :
1. Surat dikeluarkan kepada pembeli dan pihak bank dengan menyatakan yang bangunan telah siap sepenuhnya, tapi TIDAK.
2. Surat penyerahan kunci dikeluarkan, sepatutnya CCC, air dan elektrik siap sepenuhnya namun TIDAK seperti yang sepatutnya.
3. Worldwide Holding berjanji akan menyelesaikan kecacatan rumah dalam tempoh 2 minggu (paling cepat) atau 1 bulan (paling lewat) namun itu pun TIDAK berlaku.
4. Mungkin kerana ramai yang mula call Worldwide Holding dan maki hamun atas alasan meter air dan air tidak disalurkan maka pemaju hanya memasang meter air sahaja yang bekalan air TIDAK ada.
Mungkinkah ini kesudahannya (sila baca petikan berita dibawah)
Mana CF rumah kami?21/05/2009 Utusan Malaysia Oleh RASMI ABDULLAH
Pembeli pangsapuri Bestari menunjukkan dokumen perjanjian jual beli sebagai tanda mendesak pihak pemaju mendapatkan dengan segera Sijil Perakuan Menduduki Bangunan di hadapan pangsapuri itu di Seksyen 16, Shah Alam baru-baru ini. - UTUSAN/Mohd. Shaharani Sabi
SHAH ALAM 20 Mei - Semuanya sudah siap sejak tahun 2004 lagi tetapi sehingga ke hari ini, Sijil Perakuan Menduduki Bangunan (CF) masih belum dikeluarkan ke atas pangsapuri Bestari di Seksyen 16 di sini.
Akibatnya, para pembeli bukan sahaja terpaksa terus menyewa rumah tetapi dalam masa yang sama, mereka terpaksa juga membayar ansuran pinjaman membeli rumah tersebut.
Pembeli mendakwa, kegagalan pemilik projek tersebut, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyiapkan kerja-kerja pembaikan kecil pada bangunan itu dan jalan ke kawasan letak kereta sebagai punca CF tidak dapat dikeluarkan.
Wakil pembeli pangsapuri itu, Zural' Aini Zakaria, 40, memberitahu, tindakan MAIS yang melengah-lengahkan penyiapan kerja-kerja tersebut menyebabkan penduduk terpaksa menanggung beban yang tidak perlu.
Menurutnya, sehingga kini, pembeli tidak dapat menduduki rumah baru mereka itu walaupun kerja-kerja itu sebenarnya boleh diselesaikan dalam masa yang singkat sahaja.
"Masalah sekarang ini hanyalah CF dari Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kerana pihak bomba sudah mengesahkan keselamatan lif manakala Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah meluluskan sistem pendawaian elektrik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengetuai kira-kira 30 pembeli pangsapuri itu mengadakan perhimpunan secara aman bagi mendesak MAIS menyiapkan projek itu dengan segera.
Katanya, projek pangsapuri setinggi 11 tingkat yang menempatkan 128 unit kediaman, 12 ruang perniagaan dan 17 unit pejabat itu dibina oleh Cosmopro-Planer Sdn. Bhd. dengan MAIS selaku pemilik tanah.
Bagaimanapun, apabila syarikat kontraktor itu diisytiharkan muflis pada Januari lalu, MAIS mengambil alih kerja-kerja pembinaan tetapi ia masih gagal diduduki sehingga sekarang.
Beliau juga kesal dengan sikap pengurusan MAIS yang sering berdalih apabila diajukan soalan mengenai CF tersebut.
"Dulu mereka cakap CF dapat selewat-lewatnya hujung bulan ini tetapi apabila saya hubungi baru-baru ini, mereka kata mungkin pada bulan depan pula.
"Berapa lama lagi terpaksa kami menunggu agar CF diperoleh dan mereka asyik beri tarikh baru untuk menyedapkan hati pembeli," ujarnya.
Zural' Aini berkata, mereka juga sudah tidak sanggup membuat aduan demi aduan kerana masalah itu tidak juga diselesaikan, sebaliknya berharap MAIS dapat bertindak segera bagi menamatkan masalah pembeli.
Seorang pembeli kediaman di pangsapuri itu Mohd. Jamil Abdul Aziz memberitahu, wang pencennya tidak cukup untuk membayar sewa rumah, bayaran ansuran pinjaman dan menyara lapan orang anaknya.
"Saya sangat-sangat berharap masalah ini dapat diselesaikan segera untuk meringankan sedikit beban kewangan yang saya tanggung ketika ini," katanya.
Seorang lagi pembeli, Mohd. Naizi Ahmad, 42, menyifatkan dirinya bagaikan pengemis yang terpaksa berjumpa, merayu dan meminta-minta dari pelbagai pihak agar masalah CF itu dapat diatasi segera.
"Mulanya saya amat gembira kerana dapat membeli rumah di kawasan bandar raya ini tetapi setelah lapan tahun menunggu, perasaan menyesal pula yang menghantui diri saya.
"Saya hanya bekerja kilang, berapa sangatlah pendapatan saya dan saya sudah tidak sanggup bayar sewa dan ansuran pinjaman setiap bulan," katanya.
No comments:
Post a Comment